Assalamualaikum w.b.t dan semoga kita sntiasa di bawah naunganNya :)
Bercerita tentang bangun malam (Qiamullail), kekadang hati tergerak untuk melakukan, tapi mata dan jasad tidak mengizinkan.. dek kerana terlalu hanyut dengan keenakan tidur melebihi segala-galanya. Dan ini jugalah yang banyak dialami oleh segelintir daripada kita. InsyaAllah hari ini saya cuba singkapkan cara mudah untuk bangun malam :)
Menurut Syeikh Muhammad Solih al-Munajjid, terdapat beberapa faktor penting yang dilihat boleh membantu umat Islam untuk bangun bagi melakukan solat di tengah malam seperti di bawah ini:
1. Ikhlas kepada Allah dalam setiap tindakan yang dilakukan bagi meraih keredaan-Nya, iaitu melakukan solat malam dengan merahsiakannya daripada pengetahuan orang ramai, ia bertujuan supaya tidak ada rasa riak dalam diri.
2. Hendaklah bagi orang yang melakukan solat malam itu mempunyai perasaan dalaman, bahawa Allah SWT menjemputnya untuk bangun di tengah malam.
3. Mengetahui sedalam-dalamnya ilmu mengenai kelebihan bangun di tengah malam berdasarkan pengajian dan perbincangan.
4. Memerhati kepada kesungguhan individu-individu terdahulu daripada kita yang istiqamah dan iltizam melakukan qiyamullail khususnya para solihin di kalngan para sahabat dan ulama.
5. Tidur di atas lambung sebelah kanan akan memudahkan seseorang itu boleh bangun di tengah malam seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.
6. Tidur dalam keadaan berwuduk seperti ditegaskan oleh Rasulullah; “Apabila anda hendak masuk tidur, berwuduklah seperti untuk menunaikan solat.” Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada al-Barra Bin Azib.
7. Bersegera masuk tidur (tidur di awal waktu) terutama lepas solat Isyak seperti amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
8. Berzikir dengan wirid-wirid yang Ma’thur seperti Ma’thurat sebelum tidur, kerana ia menjadi benteng diri daripada kejahatan Syaitan dan membantu untuk mudah bangun, atau ayat-ayat pilihan dari al-Quran, baca doa tidur, membaca tiga Qul dan sebagainya.
9. Seboleh-bolehnya tidur sebentar di siang hari yang dikenali sebagai ‘Qailulah’, iaitu sebelum masuk waktu Zohor atau selepasnya, ala kadar setengah jam.
10. Elak daripada banyak makan dan minum, kerana ia boleh membantutkan hasrat untuk bangun di tengah malam.
11. Bertekad sedaya upaya untuk bangun malam dalam apa jua keadaan.
12. Menjauhkan dosa dan maksiat, kerana ia dikenal-pasti sebagai penghalang pertama dan utama dari mudah untuk bangun di tengah malam.
13. Membuat perhitungan diri (muhasabah) jika tidak mampu untuk bangun di tengah malam.
Adab-adab berqiamullail
- Sunat sesiapa yang bangun pada waktu malam untuk sapu muka, bersugi, memandang langit dan membaca surah Ali Imran ayat 190-200. Ini disebut dalam Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim
- Disunatkan membuka solat malam dengan dua solat ringan. Aisyah berkata : Rasulullah S.A.W apabila bangun malam untuk solat tahajjud, baginda akan membuka solat dengan dua solat ringan (Hadis Riwayat Muslim)
- Disunat solat malam dengan memberi salam setiap dua rakaat dan diakhiri dengan solat witir satu rakaat. Ibnu Umar berkata : Nabi S.A.W sembahyang malam dua rakaat dan melakukan solat witir satu rakaat. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
- Solat malam sebelas rakaat. Aisyah berkata : Nabi S.A.W tidak pernah solat malam pada bulan Ramadhan dan lainnya- lebih dari sebelas rakaat. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
- Disunatkan memanjangkan bacaan pada solat malam. Rasulullah S.A.W ditanya solat yang paling afdal, baginda menjawab "Panjang berdiri". (Hadis Riwayat Muslim)
- Disunatkan menyederhanakan suara ketika solat sunat malam. Tidak kuat dan tidak perlahan. Firman Allah : " Dan janganlah engkau mengeraskan suaramu dalam solatdan janganlah (pula) merendahkannya dan usahakan jalan tengah di antara kedua itu" (Surah Al-Isra' :110)
- Disunatkan berbaring apabila terasa mengantuk ketika solat malam. Nabi S.A.W bersabda : Apabila sesorang itu merasa mengantuk dalam solatnya, hendaklah ia berbaring sehinggalah hilang mengantuknya. Maka sesungguhnya orang sedang mengantuk hendak beristighfar, tetapi memaki dirinya sendiri". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
- Disunatkan mengejutkan suami atau isteri untuk bangun malam.
- Solat malamlah dengan istiqamah walaupun sedikit. Apa yang disebut disini adalah yang sempurna. Kalau tidak mampu, buatlah walaupun satu rakaat solat witir. Nabi S.A.W ditanya tentang amalan yang paling disukai oleh Allah, maka baginda menjawab : "Amalan yang paling kekal walaupun ianya sedikit" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
- Disunatkan memperbanyakkan istighfar dan doa. Firman Allah : "Dan orang-orang yang beristighfar pada waktu sahur" (Surah Ali Imran : 17). Rasulullah S.A.W bersabda : " Sesungguhnya Allah akan turun pada setiap malam ketika sepertiga malam yang terakhir dan berkata : Siapa yang berdoa akanKu perkenankan. Siapa yang meminta akanKu berikan dan siapa yang beristighfar akanKu ampunkan. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
- Seeloknya sesorang itu berniat sungguh untuk qiamullail ketika hendak tidur supaya dia mendapat pahala qiam walaupun tidak bangun. Sabda Rasulullah S.A.W : " Sesiapa yang mendatangi tilamnya dalam keadaan dia berniat hendak bangun malam, tetapi tidurnya terlajak hingga ke subuh maka ditulis pahala apa yang diniatkan. Tidurnya itu adalah sedekah dari Tuhannya. (Hadis Riwayat Imam Nasaie dan Ibnu Majah)
- Disunat menqada solat malam yang tertinggal. Baginda bersabda : "Sesiapa yang tertidur dari melakukan amalan malamnya dan dia lakukannya di antara solat subuh dan solat zuhur maka ditulis pahalanya seolah-olah dia melakukannya pada waktu malam. (Hadis Riwayat Imam Muslim)
- Makruh mengkhususkan qiamullail pada malam jumaat sahaja.
- Disunatkan meniru cara qiamullail Nabi Daud a.s.
- Cara nak bangun awal pada waktu tertentu hendaklah membaca surah akhir Kahfi dan niat beserta mohon pada Allah untuk bangun pada waktu tertentu, InsyaAllah akan terjaga.
Amalan-amalan Sunat ketika Qiamullail
-Solat sunat tahajjud
”dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam dan kerjakanlah solat tahajjud sebagai solat tambahan bagimu. Semoga tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari qiamat di tempat yang terpuji.” ( Surah Al-Isra’ : 79)
”Sebaik-baik solat selain daripada solat fardhu ialah solat malam” (Hadis Riwayat Muslim)
-Solat sunat tasbih, taubat, istikharah, hajat, mengqada’ solat fardhu, solat mutlak dan solat sunat yang lain.
-Solat witir
-Berzikir, bertasbih dan bertahmid
-Membaca al-Quran
-Dan amalan-amalan lain seperti muhasabah dan memikirkan keagungan dan kekuasaan Allah.
Moga dengan sedikit perkongsian ini memberi seribu kebaikan pada diri kita serta dipermudahkan untuk mengerjakan qiamullail, InsyaAllah :)